Header Ads

Hartawan Asia miliki kelab bola sepak Eropah


Bola sepak adalah sukan global yang mendapat tempat di hati setiap orang tidak kira muda, tua, lelaki atau pun perempuan. Setiap individu tentunya mempunyai pasukan kegemaran mereka di liga bola sepak Eropah!

Bagi orang biasa seperti kita, minat terhadap pasukan bola sepak Eropah hanya diterjermahkan menerusi jersi-jersi yang dipakai atau melawat ke stadium jika berpeluang bercuti di Eropah.

Namun bagi jutawan-jutawan di Asia, mereka mempunyai cara mereka sendiri jika mereka meminati sesuatu kelab bola sepak itu, iaitu dengan memiliki kelab bola sepak tersebut! Bukan untuk minat sahaja tetapi ia sebagai perniagaan yang menguntungkan!

Oleh itu, kali ini kami ingin menyenaraikan hartawan-hartawan di Asia yang memiliki kelab bola sepak di Eropah termasuklah hartawan daripada Malaysia sendiri.

FC Bari – Dato' Dr. Noordin Ahmad (Malaysia)
Sumber foto: FMT
Baru-baru ini, seorang lagi ahli perniagaan dan pelabur dari Malaysia, Dato' Dr. Noordin Ahmad telah menjadi sebutan dalam dunia bola sepak selepas beliau secara rasmi telah menjadi pemilik kelab bola sepak Itali, Serie B, FC Bari 1908, apabila membeli 50 peratus syer kelab tersebut. Berita itu telah disahkan oleh presiden FC Bari, Gianluca Paparesta. Dato' Dr. Noordin Ahmad dilaporkan membeli syer kelab tersebut pada harga €12 juta (RM52.82 juta) pada 8 April lalu. Peralihan pemilikan kelab tersebut mendapat reaksi positif dari peminat-peminat kelab tersebut yang mana ketika perlawanan Serie B menentang AC Cesena pada 4 April lalu menyaksikan bendera Malaysia terpampang di bahagian grandstand dan mesej 'Selamat Dato' pada kain rentang di bahagian Curva Nod stadium.

Queen's Park Rangers FC – Tony Fernandes (Malaysia)
Sumber foto: espn
Pemilik syarikat penerbangan tambang murah AirAsia ini merupakan salah seorang peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris. Ini kerana sebelum beliau membeli QPR, dia pernah dikaitkan mahu membeli kelab West Ham United, Tony bagaimanapun mengambil keputusan untuk membeli QPR pada tahun 2011 harga £35 juta (RM150 juta) iaitu sebanyak 66 peratus saham yang mana baki saham QPR dimiliki oleh jutawan besi dari India, Lakshmi Mittal dan menantunya. Menurut Tony, beliau membeli QPR untuk menjadikannya sebagai platform untuk mempromosikan syarikat penerbangannya AirAsia.

Cardiff City FC & FK Sarajevo FC – Vincent Tan (Malaysia)
Sumber foto: walesonline
Tokoh ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Berhad ini telah membeli kelab divisyen kedua England Cardiff City FC pada tahun 2010. Pelaburan Vincent Tan mula menunjukkan hasil apabila pada April 2013 Cardiff City berjaya naik ke Liga Perdana Inggeris. Tidak cukup dengan satu kelab bola sepak sahaja, pada Disember tahun sama Vincent telah meluaskan empayarnya apabila menandatangani perjanjian untuk mengambil alih kelab liga bola sepak Bosnia, FK Sarajevo yang dianggarkan bernilai sekitar RM6.6 juta.

Inter Milan FC – Erick Thohir (Indonesia)
Sumber foto: blogbuletin
Pada tahun 2013 seorang ahli perniagaan dari Indonesia, Erick Thohir telah membeli 70 peratus saham kelab bola sepak gergasi Itali, Inter Milan FC bernilai £25 juta (sekitar RM103 juta). Selepas membeli Inter Milan, Thohir telah menjual kelab bola keranjang miliknya di Amerika Syarikat Philadelphia 76ers. Selain itu, dia juga memiliki kelab bola sepak liga Amerika Syarikat MLS, D.C United.

Valencia CF – Peter Lim (Singapura)
Sumber foto: asiansportsnetwork
Taikun hartanah Peter Lim dari Singapura ini telah menjadi satu-satunya rakyat Singapura yang memiliki kelab bola sepak liga Sepanyol, La Liga Valencia CF bernilai £420 juta sekitar (RM1.7 billion). Selain itu, Peter Lim juga memegang 50 peratus saham kelab bola sepak semi-profesional Salford City FC di England.

Leicester City FC – Vichai Srivaddanaprabha (Thailand)
Sumber foto: leicestermercury
Taikun peruncit bebas cukai King Power Free Duty, Thailand, Vichai Srivaddanaprabha ini telah membeli kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris Leicester City FC pada tahun 2010 dengan jumlah pembelian yang dirahsiakan.

Manchester City FC – Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan (Qatar)
Sumber foto: pixgood
Jutawan dari Qatar ini telah mengambil alih kelab juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City daripada bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pada tahun 2008 dengan pembelian bernilai £200 juta (sekitar RM820 juta). Sejak itu, Sheikh Mansour telah melabur ratusan juta euro bagi membeli pemain-pemain terkenal dunia sehingga Manchester City berjaya merangkul trofi Liga Perdana Inggeris pada musim 2011/12.

Paris Saint-Germain FC – Nasser Al-Khelaifi (Qatar)
Sumber foto: beinsports
Pemilik stesen televisyen sukan beIN Media Group yang juga merupakan bekas pemain tenis profesional ini telah membeli pasukan liga utama Jerman, Ligue 1 Paris Saint-Germain FC pada tahun 2011. Dengan mempunyai dana yang besar, PSG mula mendapat perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia apabila mereka berjaya menandatangani pemain-pemain terhebat dunia antaranya David Beckham, Zlatan Ibrahimovic, Edinson Cavani dan Thiago Silva.

Blackburn Rovers FC – Anuradha Desai, Venkatesh Rao & Balaji Rao (India)
Sumber foto: TheSun
Usahawan makanan berasaskan ayam dari India, Venky's London Limited ini telah mengambil alih pasukan Blackburn Rovers FC pada tahun 2010 dengan pembelian saham sebanyak 99.9 peratus iaitu sebanyak £23 juta (sekitar RM94.3 juta).

Fulham FC – Shahid Khan (Pakistan)
Sumber foto: theguardian
Usahawan automotif berasal dari Pakistan-Amerika ini telah membeli Fulham FC daripada Al Fayed pada tahun 2013 dengan jumlah yang tidak didedahkan. Namun rata-rata media barat menggangarkan nilai pembelian kelab itu diantara £150 juta - £200 (sekitar RM615 juta – RM820 juta). Selain kelab bola sepak, Shahid juga memiliki kelab 'football' Amerika, Jacksonville Jaguars.

Birmingham City FC – Carson Yeung (Hong Kong)
Sumber foto: BBC
Ahli perniagaan daripada Hong Kong, Carson Yeung ini mula membeli saham Birmingham City FC pada tahun 2007, tetapi hanya 30 peratus sahaja. Namun pada tahun 2009 Carson menerusi syarikatnya Grandtop International Holdings Ltd kemudian telah meningkatkan sahamnya kepada 94 peratus dengan nilai yang dianggarkan sebanyank £57 juta (sekitar RM233 juta).

Sheffield United FC – Abdullah bin Musa'ed bin Abdulaziz Al Saud (Arab Saudi)
Sumber foto: dailymail
Putera Raja Arab Saudi, Abdullah bin Musa'ed bin Abdulaziz Al Saud merupakan pemilik bersama Kevin McCabe, dimana dia membeli sebanyak 50 peratus saham pada tahun 2013. Tujuan dia membeli pasukan tersebut kerana mahu Sheffield United beraksi di liga peringkat tertinggi.

No comments

Powered by Blogger.