Header Ads

Kakak Sheila Majid dapat tuntutan mutaah sebanyak RM30 juta


Kakak kepada ratu jazz negara Sheila Majid, Shahnaz Abdul Majid bakal menerima tuntutan mutaah sebanyak RM30 juta dari bekas suaminya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Muhamad Abdul Karim yang memutuskan Shahnaz selaku plaintif berhak menerima tuntutan selain mengambil kira kesedihan akibat diabaikan lebih 10 tahun oleh defendan (Mahmud Abu Bekir).

Hakim bagaimanapun membenarkan defendan membayar nafkah mutaah secara ansuran dalam tempoh tiga bulan.

"Dengan jumlah tersebut (RM30 juta), mahkamah berpendapat ia adalah berkadar dan wajar terhadap defendan dan setidak-tidaknya mampu menghapuskan duka hati sebagai seorang bekas isteri," katanya yang dipetik dari Bernama.

Pada masa sama, Muhamad Abdul juga mengarahkan beberapa kenderaan dan banglo mewah diberikan kepada plaintif sebagai hadiah dan bukannya sebahagian daripada tuntutan mutaah tersebut.

Pasangan Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz telah bernikah pada 9 Januari 1992 sebelum bercerai talak satu pada 11 Mei 2014.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 23 tahun.

Dalam pada itu, Shahnaz nyata gembira dengan keputusan mahkamah walaupun jumlah itu tidak seperti yang dituntut.

Pada masa sama, Shahnaz juga memberitahu bahawa dia mempunyai perancangan terhadap wang tersebut untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.

Sementara itu, peguam defendan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan menangguhkan perintah tersebut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

(Sumber foto: Free Malaysia Today)

No comments

Powered by Blogger.